KUALA LUMPUR: Syarikat pemula niaga Malaysia merekodkan jumlah jualan RM202.64 bilion dalam tempoh dua tahun sejak pelancaran inisiatif KL20 pada 2024, dengan kerajaan mahu memastikan perkembangan ekosistem berkenaan terus menjana nilai ekonomi lebih besar menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dalam tempoh sama, kira-kira RM51 bilion pelaburan disalurkan ke dalam ekosistem syarikat pemula niaga, mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam usaha membangunkan sektor berkenaan.
Beliau berkata, perkembangan itu perlu diiktiraf, namun kejayaan ekosistem syarikat pemula niaga tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka pelaburan dan jualan semata-mata.
Sebaliknya, katanya, Malaysia mahu menjadi antara pilihan utama pengasas syarikat pemula niaga untuk membangunkan perniagaan, menghasilkan penyelesaian baharu dan mengembangkan operasi mereka.









