KUALA LUMPUR: Parlimen perlu segera menubuhkan pasukan penggubal undang-undang sendiri bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan mengambil kira pandangan wakil rakyat dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata langkah itu penting susulan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

"Proses penyediaan draf RUU ketika ini banyak bergantung kepada agensi kerajaan, sedangkan beberapa RUU sudah dirujuk kepada jawatankuasa pilihan untuk diteliti, ditambah baik dan disunting semula.

"Draf RUU yang disediakan agensi mungkin perlu dipinda selepas diteliti jawatankuasa pilihan. Sebab itulah, pada pandangan saya, kita memerlukan pasukan penggubal undang-undang sendiri di Parlimen dan tidak bergantung kepada agensi semata-mata," katanya.