Manjung: Seramai 778 sukarelawan daripada 18 universiti awam seluruh negara digerakkan menerusi Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Pulau Pangkor, di sini.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, misi itu membabitkan 625 penuntut dan 153 kakitangan yang hadir bagi menyampaikan 520 sumbangan berupa bakul makanan, toto, bantal dan makanan retort bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam berkata, pembabitan pelbagai universiti dalam misi berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan institusi pendidikan tinggi dalam membantu masyarakat yang berdepan musibah.