Kuala Lumpur: Syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan pergigian, D'Senyum Sdn Bhd menandakan pencapaian penting dalam lipatan sejarahnya menerusi pelancaran rasmi jenama D'Senyum serta penjenamaan semula klinik pergigiannya di Seremban, Negeri Sembilan.

Langkah strategik ini sekali gus membuka babak baharu buat kumpulan pergigian berkenaan yang sudah bertapak dan mempunyai pengalaman melebihi 10 tahun dalam industri penjagaan kesihatan pergigian di negara ini.

Kumpulan D'Senyum kini diterajui oleh Pengerusi Kumpulannya, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Pengalaman luas Mohd Shafiq selama hampir 30 tahun dalam perkhidmatan awam khususnya dalam tadbir urus, pentadbiran kesihatan, dasar dan pengurusan kewangan membawa perspektif kepimpinan yang berharga buat hala tuju perniagaan D'Senyum.