TUMPAT: Kakak kepada pegawai Kastam, Norhazwani Ibrahim, yang maut dipercayai dibunuh, boleh menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu menguruskan dua anak perempuan mangsa yang masih kecil.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh, berkata bantuan itu akan disalurkan menerusi skim Bantuan Anak Pelihara yang memperuntukkan RM250 bagi setiap anak sebulan.

Bagaimanapun, beliau berkata bantuan itu hanya boleh disalurkan kepada Marliza, 48, selepas mahkamah secara rasmi memberikan hak penjagaan kedua-dua kanak-kanak itu kepada keluarga mangsa.

"Kami akan mempercepatkan proses berkenaan sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan mengenai hak penjagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Norhazwani di Kampung Telaga Lanas, di sini, hari ini.