Tumpat: Warga Thailand yang ditahan kerana menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki Kelantan secara haram, memberikan pelbagai alasan, termasuk menziarahi keluarga atau saudara-mara sakit.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, ia antara alasan diberikan warga Thailand ketika disoal siasat selepas ditahan kerana memasuki negeri itu melalui laluan tidak diwartakan di sepanjang sungai berkenaan.
Beliau berkata, ada antara mereka mendakwa memasuki Kelantan secara haram, untuk pulang ke kampung atau menziarahi ahli keluarga, manakala sebahagian lagi memberikan alasan isteri, anak atau saudara-mara mereka sedang sakit.
"Sebahagian yang lain pula memberikan alasan menghadapi masalah dokumen perjalanan atau mendakwa menyeberangi sempadan untuk bekerja atau menjalankan kegiatan ekonomi di Kelantan, negeri lain di Malaysia atau di tempat lain," katanya.










