Kuala Lumpur: Peruntukan RM1.1 bilion kepada lima agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam Belanjawan 2027, dilihat dapat memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa.
SPRM dalam kenyataannya berkata, ia bukti komitmen kerajaan dalam memperkasakan agensi berkenaan dalam mencegah dan membanteras jenayah.
"Peruntukan itu juga membolehkan agensi penguat kuasa memperkukuh usaha membawa penjenayah ke muka pengadilan serta mengembalikan hasil kepada negara, sekali gus meningkatkan keberkesanan tindakan terhadap kegiatan jenayah dan rasuah," katanya.
Dalam kenyataan sama, SPRM menyambut baik komitmen kerajaan menerusi belanjawan itu yang menekankan usaha membanteras rasuah sistemik secara habis-habisan, termasuk memperkukuh reformasi undang-undang, meningkatkan ketelusan serta memperkasakan agensi penguat kuasa.








