KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan peruntukan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion pada tahun depan yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 penerima.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan dalam mempersiapkan negara menuju status negara tua.
“Bantuan Warga Emas tahun hadapan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani isu pengabaian selain memperkukuh ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh.
Katanya, mulai 1 Januari 2027, kadar cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas turut diturunkan daripada lapan kepada enam peratus.








