PEMBANGUNAN sukan negara terus diberi perhatian menerusi peruntukan RM460 juta dalam Belanjawan MADANI 2027 bagi memperkasa program sukan berprestasi tinggi, Road to Gold (RTG), pembangunan atlet para dan Sukan Orang Pekak serta penyelenggaraan fasiliti sukan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merupakan antara langkah kerajaan untuk meneruskan pembangunan ekosistem sukan negara, selain menyediakan sokongan kepada atlet dan memastikan kemudahan sukan dapat diselenggara dengan baik.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pembentangan itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM240 juta bagi persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, ketika Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah kedua-dua temasya berkenaan tahun depan.