khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gerakan Belia 4B Malaysia berharap Belanjawan 2027 bukan sahaja memperkenalkan inisiatif baharu untuk golongan belia, tetapi turut memberikan perhatian serius terhadap keberkesanan pelaksanaan peruntukan yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2026.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kerajaan mesti memastikan setiap peruntukan yang diumumkan dan diluluskan perlu dilaksanakan serta sampai kepada kumpulan sasaran.

"Sebagai contoh, inisiatif Sejati MADANI bagi pertubuhan belia yang telah diumumkan dan diluluskan masih belum dilaksanakan akibat karenah birokrasi yang berpanjangan.

"Kelewatan ini amat mengecewakan kerana ia membantutkan usaha pertubuhan belia untuk melaksanakan program keusahawanan, membantu usahawan muda serta membuka peluang menjana pendapatan.