Kuala Lumpur: Peruntukan bagi persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang berkurangan berbanding semasa menjadi tuan rumah 2017 tidak semestinya mencerminkan pemotongan besar-besaran, sebaliknya perlu dilihat sebagai kesinambungan perbelanjaan daripada tahun sebelumnya.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sebahagian peruntukan Belanjawan 2026 sudah merangkumi persiapan menghadapi temasya itu, justeru keperluan kewangan bagi 2027 mungkin berbeza apabila Malaysia memasuki tahun penganjuran.
Menurutnya, jumlah peruntukan juga perlu dinilai dengan mengambil kira kemungkinan sebahagian kos persiapan Sarawak sebagai tuan rumah ditanggung kerajaan negeri.
"Bila Belanjawan 2026 diumumkan, sebahagian daripada peruntukan itu sudah digunakan untuk persiapan Sukan SEA. Jadi, apabila masuk 2027, tahun penganjuran, peruntukan mungkin berbeza kerana sebahagian persiapan sudah dilakukan lebih awal," katanya.









