TUMPAT: Pelbagai alasan diberi warga Thailand termasuk kononnya mahu ziarah keluarga atau saudara-mara yang sakit sebagai alasan selepas ditahan kerana memasuki Kelantan melalui Sungai Golok, di sini secara haram.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata ada juga yang ditahan memberi alasan mempunyai masalah dokumen perjalanan, selain memaklumkan menyeberangi sempadan untuk bekerja atau menjalankan kegiatan ekonomi di Kelantan serta negeri lain di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya PGA tidak sesekali berkompromi dan mereka yang dikesan melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tanpa mengira alasan.

Menurut Ahmad Radzi, antara tempoh 1 Januari hingga 4 Oktober lalu, 383 kes direkodkan mengikut Akta Imigresen 1959/63, membabitkan penahanan 840 warga asing terdiri 649 lelaki dan 191 wanita.