am@hmetro.com.my

Kulim: "Kami risau keadaan ayah, lebih-lebih lagi dia ada masalah ingatan," kata Syazwani Abdul Aziz, 30, susulan kehilangan bapanya, Abdul Aziz Ali, 67, yang dilaporkan gagal dikesan selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Air Puteh, Serdang, Bandar Baharu, sejak Ahad lalu.

Warga emas yang dipercayai menuju ke Kulim dengan menaiki sebuah skuter itu sehingga kini masih belum pulang, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarga memandangkan kesihatan dan ingatan mangsa yang kurang memuaskan.

"Ayah keluar rumah kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki skuter Avantis berwarna kuning kelabu bernombor pendaftaran PPK8571 untuk ke kedai tak jauh dari rumah.

"Penduduk kampung maklumkan ayah ada beritahu mereka yang dia mahu ke Kulim. Kami syak ayah mungkin balik rumah untuk tukar baju sebelum keluar semula sebab baju yang dipakainya pada pagi itu ada di rumah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.