KUALA LUMPUR: Masih bergelut menerima hakikat kehilangan ibu tercinta, pelakon Syafiq Kyle memohon orang ramai terus mendoakan agar dia dan keluarga diberikan ketabahan menghadapi rindu yang tiada penghujung.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, meluahkan perasaan itu menerusi perkongsian di media sosial selepas dua hari mendiamkan diri susulan pemergian ibunya, Allahyarham Rohaya Sulaiman, yang menghembuskan nafas terakhir Sabtu lalu.

Pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu menyifatkan pemergian insan tersayang meninggalkan kerinduan mendalam, apatah lagi apabila insan yang selama ini menjadi tempat menumpang kasih sudah tiada.

Menerusi hantaran sama, Syafiq turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menitipkan doa, kata-kata semangat dan ucapan takziah buat keluarganya.