Kuala Lumpur: Bukan sekadar gelaran juara dunia remaja, tetapi kemampuan memahami permainan dengan pantas dan kematangan pada usia muda menjadikan Low Zi Yu prospek istimewa yang perlu diberikan perhatian serius.

Jurulatih beregu wanita remaja negara, Amelia Alicia Anscelly berkata, beliau percaya pemain berusia 16 tahun itu memiliki kelebihan tersendiri berbanding rakan seusianya dan potensi dimiliki Zi Yu tidak boleh dipandang ringan serta perlu dibangunkan dengan perancangan teliti supaya bakatnya mampu berkembang ke tahap lebih tinggi.

"Dia pemain yang sangat luar biasa. Kita perlu menjaganya dengan baik. Keputusan yang diraih sudah membuktikan segala-galanya. Dia memang berbeza, sangat berbeza," katanya ketika ditemui semasa ketibaan skuad badminton remaja negara dari Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.