JAKARTA: Jumlah tompok panas kebakaran di seluruh Indonesia melonjak lebih empat kali ganda kepada 1,104 pada Ahad.
Kalimantan paling teruk terjejas apabila kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan terus menghasilkan asap dan jerebu, sekali gus memburukkan kualiti udara di beberapa wilayah.
Kementerian Kehutanan memaklumkan jumlah tompok panas kebakaran hutan dan tanah meningkat daripada 270 pada Sabtu, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan peningkatan paling ketara kepada 495 tompok panas berbanding 92 pada hari sebelumnya, manakala Kalimantan Barat meningkat kepada 174 daripada 22.
Kementerian itu menerusi platform media sosialnya memaklumkan peningkatan mendadak itu berlaku selepas beberapa hari jumlah tompok panas kekal agak rendah di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat walaupun operasi pemadaman kebakaran diteruskan.








