Kuala Lumpur: Ketetapan baharu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang hanya membenarkan penjualan tiket bas ekspres (BE) menerusi terminal dilesenkan bermula 1 November ini mengejutkan pengusaha bas dan ejen penjualan tiket di seluruh negara.
Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, pihaknya menerima makluman berhubung perkara itu melalui surat daripada agensi berkenaan, namun mendakwa tiada sebarang rundingan atau perbincangan dilakukan bersama persatuan pengusaha bas.
Menurutnya, perubahan itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha bas yang sudah melaburkan wang untuk membangunkan laman web dan sistem penjualan tiket sendiri bagi memudahkan urusan penumpang.









