GOMBAK – Tiket perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mula dijual secara dalam talian pada pertengahan November ini.
Bagaimanapun operasi komersial laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula 12 Disember depan tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, orang ramai boleh membuat tempahan menerusi laman web rasmi ECRL iaitu www.ecrl.com.my.
Menurut beliau, harga tiket menggunakan mekanisme tambang dinamik yang membolehkan kadar berubah mengikut masa pembelian, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk.









