BATU PAHAT – Gara-gara menuduh isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain, seorang pekebun bertindak mengejar wanita itu menggunakan parang sepanjang 62 sentimeter (sm) dalam kejadian di Senggarang di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi di sebuah rumah di Sungai Kalong apabila suspek berusia 42 tahun dipercayai mengambil parang sebelum mengejar isterinya yang berusia 37 tahun.

Suspek turut mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga menyebabkan isterinya ketakutan dan perbuatan lelaki itu turut disaksikan ibu mentua dan anaknya.

Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap suaminya.