KUALA LUMPUR: Cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi meningkatkan penyertaan wanita kepada 30 peratus masih dalam penelitian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, bagaimanapun mengakui perkara itu tidak mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan sokongan pemimpin politik.

"Kami tidak putus asa dan kami akan teruskan. Kami cuba melihat perbandingan dengan negara-negara lain. Bagaimana negara lain yang (melaksanakan) wanita sahaja atau kerusi khas untuk wanita sahaja.

"Tetapi kami juga perlu mendapat persetujuan dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik. Kalau pemimpin politik tidak memberi peluang ini kepada kami (wanita), maka kami masih juga sukar (mencapai sasaran)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.