KUALA LUMPUR: Kos pemprosesan, kemampanan bekalan bahan mentah dan harga yang mampu ditanggung syarikat penerbangan menjadi antara faktor penentu daya maju industri bahan api penerbangan mampan (SAF) Malaysia ketika negara berusaha menyahkarbonkan sektor penerbangan menerusi Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk meneroka pengeluaran SAF tempatan, disokong sektor tenaga, keupayaan pembuatan, rangkaian logistik serta kedudukan strategik negara berhampiran pasaran penerbangan utama Asia.

Bagaimanapun, beliau berkata potensi itu perlu disokong pelaburan bersasar, penyertaan industri yang lebih kukuh dan pembangunan keupayaan pengeluaran domestik bagi memastikan industri berkenaan berdaya maju dari sudut komersial.