PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin memerintahkan Mahkamah Tinggi supaya mendengar semula permohonan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan empat anak syarikatnya bagi mengetepikan penghakiman ingkar yang dimasukkan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng.Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh 1MDB dan keempat-empat anak syarikatnya.Azhahari mengarahkan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh di hadapan hakim lain.Beliau menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.Pada tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan 1MDB dan anak-anak syarikatnya untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu atas alasan terdapat kelewatan hampir tiga tahun dalam pemfailan permohonan berkenaan.Pada 2022, 1MDB memperoleh penghakiman ingkar terhadap Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan Hock Peng, yang mengarahkan mereka membayar AS$3,782,637,525 berserta faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah itu bermula dari tarikh antara 2010 hingga 2014 sehingga penyelesaian penuh dibuat.Penghakiman itu direkodkan terhadap Jho Low dan Hock Peng selepas Mahkamah Tinggi menolak pembelaan mereka kerana gagal mematuhi injunksi Mareva, iaitu perintah yang menghalang mereka melupus atau memindahkan aset mereka.Bagaimanapun, 1MDB memfailkan permohonan pada 2025 untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadap Jho Low dan bapanya kerana mahu pertikaian itu diteruskan ke peringkat perbicaraan penuh serta menuntut remedi tambahan terhadap kedua-dua individu.1MDB dan anak-anak syarikatnya mendakwa ketika penghakiman ingkar direkodkan, mereka tidak mengetahui tentang bukti yang muncul dalam prosiding di luar negara, dan penipuan yang dilakukan adalah sofistikated serta melibatkan pelbagai entiti merentasi bidang kuasa berbeza.1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, Global Diversified Investment Co Ltd (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd) dan 1MDB Energy (Langat) Ltd telah memfailkan saman bernilai AS$3.78 bilion pada Mei 2021 terhadap Jho Low, Hock Peng, ibunya (Puan Sri Goh Gaik Ewe), adik-beradik beliau (Taek Szen dan May Lin) serta rakan sekutu (Tan Kim Loong).Saman itu difailkan, antara lain atas dakwaan penyembunyian secara penipuan, penyelewengan dana secara penipuan dan pengayaan yang tidak sah. - Bernama