Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Smit, berhubung dakwaan kecuaian dalam siasatan kematian anak perempuannya itu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datuk Ong Chee Kwan dan K Muniandy.
Hakim Muniandy ketika membacakan keputusan itu berkata, panel berkenaan mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025, termasuk semua perintah ganti rugi, faedah dan perintah mandatori.
Pada 29 Julai 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen dan memerintahkan kesemua defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk, RM300,000 sebagai ganti rugi teladan serta RM100,000 sebagai kos.









