Ivana Smit, 18, ditemui mati di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari satu unit di tingkat 20. (Gambar Instagram)PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Smit, berhubung dakwaan kegagalan menyiasat kematiannya pada 2017.

Panel tiga hakim dipengerusikan Zaini Mazlan bersama Ong Chee Kwan dan K Muniandy, membenarkan rayuan kerajaan serta mengetepikan semua ganti rugi, faedah dan perintah mandatori. Tiada perintah mengenai kos.

Muniandy yang membacakan ringkasan alasan penghakiman berkata, polis tidak mempunyai kewajipan berjaga-jaga di bawah undang-undang sivil terhadap pengadu individu atau saudara-mara mereka dalam menentukan cara siasatan perlu dijalankan.