BUTTERWORTH: Perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 130,790 pengguna di negeri ini yang terjejas akibat gangguan tidak berjadual (UWSI) sudah pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan, berkata sehingga jam 7 pagi tadi, 96.67 peratus pengguna terjejas di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Barat Daya dan Timur Laut kembali menerima bekalan air seperti biasa.
Beliau berkata, gangguan berkenaan berpunca paip berdiameter 300 milimeter (mm) di Kampung Lokan, di sini pecah yang dikesan pada jam 11.30 malam kelmarin.
"Paip yang pecah itu bersambung dengan paip utama berdiameter 1,350mm menyebabkan PBAPP terpaksa menghentikan tugas paip berkenaan bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.










