PUTRAJAYA: Kerajaan hanya boleh memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan di Jepun bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lalu, jika diperlukan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan menyerahkan urusan berkaitan kes berkenaan kepada pihak berkuasa negara itu.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan maklumat mengenai individu yang ditahan di Jepun berikutan dasar privasi dan kerahsiaan negara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika keluarga individu terbabit mahu pihak kedutaan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan suspek terpelihara, mereka perlu mengemukakan permohonan bertulis kepada pihak berkuasa Jepun.