JOHOR BAHRU: Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 kembali memeriahkan suasana di selatan tanah air apabila acara tahunan itu dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall.
Karnival anjuran Media Prima ini bakal menawarkan pelbagai aktiviti hiburan, promosi menarik dan pengisian mesra keluarga bagi mengeratkan hubungan komuniti setempat.
Memasuki tahun ke-23 penganjuran, Karnival Jom Heboh turut mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai Longest Running Outdoor Carnival oleh The Malaysia Book of Records, selain mencatat purata kehadiran lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi.
Sepanjang karnival berlangsung, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, pertandingan mewarna, sesi Zumba dan Jom Lokal Jam.






