BUTTERWORTH: Seorang pemandu pelancong dipenjarakan lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah memiliki komponen senjata api tiruan di sebuah premis sewa kereta pada September lalu.

Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal, menjatuhkan hukuman itu ke atas S Leynon, 33, dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu 1 Oktober lalu.

Lelaki itu dituduh memiliki beberapa komponen senjata api tiruan, termasuk komponen laras berwarna perak serta dua kelopak peluru (magazine) hitam yang masing-masing mengandungi enam dan satu butir peluru.

Kesalahan didakwa dilakukan di premis sewa kereta, Jalan New Ferry di sini, antara 1 hingga 30 September lalu mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, denda RM5,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.