KUALA LUMPUR: PROTON terus meningkatkan nilai pemilikan kenderaannya menerusi kos penyelenggaraan kompetitif bagi Saga serba baharu dan Proton S70, selain pelaburan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan.

Langkah itu bertujuan membantu pelanggan mengawal perbelanjaan sepanjang tempoh pemilikan, termasuk kos servis berkala serta kemudahan mendapatkan alat ganti dan perkhidmatan yang boleh dipercayai.

Kajian PROTON menunjukkan Proton S70 enjin aspirasi semula jadi mencatatkan anggaran kos penyelenggaraan lima tahun sebanyak RM4,010.59, iaitu kira-kira RM1,591 lebih rendah berbanding pesaing pertama dan RM433 berbanding pesaing kedua.

Bagi tempoh 10 tahun, kos penyelenggaraan S70 dianggarkan RM9,070.09, dengan penjimatan masing-masing sekitar RM2,191 dan RM1,252 berbanding dua model penanda aras.