Jakarta: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda wilayah itu.

Video yang dikongsi orang ramai di media sosial menunjukkan jalan raya dan bangunan di Palangka Raya, ibu kota wilayah berkenaan diselubungi jerebu tebal.

Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menerusi laman sesawangnya, kualiti udara di Palangka Raya kekal pada tahap berbahaya pagi Rabu, dengan kepekatan zarah halus (PM2.5) mencecah hampir lima kali ganda paras ambang bagi kategori pencemaran tertinggi agensi itu.

Satu lagi video yang dikongsi dari Timpah, juga di Kalimantan Tengah menunjukkan langit berwarna jingga dan kawasan sekitarnya dilitupi jerebu tebal. Lelaki yang merakam video itu menyatakan waktu rakaman ialah 11 pagi pada 13 Oktober.