KUALA LUMPUR: Cadangan Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) antara Kerajaan Selangor dan BERSATU dilihat sebagai petunjuk parti pembangkang itu mula membuka ruang kepada pendekatan politik yang lebih pragmatik.

Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis, berpandangan langkah itu tidak semestinya bermaksud BERSATU meninggalkan politik konfrontasi sepenuhnya.

"Dalam sistem demokrasi, pembangkang bukan sahaja berfungsi mengkritik kerajaan, tetapi juga boleh berunding untuk memastikan kepentingan kawasan dan pengundi mereka mendapat perhatian.

"Bagi BERSATU, CSA memberi peluang untuk membuktikan mereka mampu membawa manfaat kepada rakyat walaupun tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.