Melaka: Selepas dua hari ditutup akibat jerebu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri ini beroperasi semula esok, tertakluk kepada pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka memaklumkan keputusan itu mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa dengan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan terus menjadi keutamaan.
Menurutnya, bagaimanapun semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), perhimpunan serta kokurikulum perlu dihentikan serta-merta.










