Kuala Lumpur: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat tindakan menangani jerebu melalui mesyuarat penyelarasan secara berkala, pemantauan kualiti udara berterusan dan tindakan segera oleh agensi berkaitan.
Langkah itu bagi melindungi kesihatan serta keselamatan rakyat, khususnya murid sekolah.
NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, gesaan itu susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 September lalu di Kuching, Sarawak.
Menurut kenyataan itu, ia diperkukuh melalui perbincangan antara agensi pada 13 Oktober lalu membabitkan NADMA, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi memastikan tindakan menangani jerebu dilaksanakan secara tersusun serta berkesan.









