Putrajaya: Seramai 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah dijangka menerima bantuan kewangan khas secara 'one-off' RM1,000 seorang sebelum sambutan Deepavali.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pembayaran membabitkan peruntukan RM53 juta itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Beliau berkata, pembayaran akan dibuat sama ada melalui serahan baucar atau pemindahan wang secara dalam talian.

Katanya, kementerian menyasarkan semua pemandu yang layak menerima bantuan berkenaan sebelum perayaan itu, dengan data penerima akan disahkan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak.