SEREMBAN – Masih ramai warga asing dikesan menunggang motosikal secara haram menerusi operasi penguatkuasaan Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah kebergantungan mereka kepada motosikal untuk menjalankan aktiviti pekerjaan, termasuk menjual aiskrim, menghantar roti dan menawarkan perkhidmatan memotong rumput.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, kebanyakan individu terbabit yang berusia antara 20 hingga 40 tahun menggunakan motosikal bagi menjalankan aktiviti harian.
Menurutnya, motosikal berkenaan ada yang dibeli sendiri, disewa atau diperoleh menerusi urusan jual beli dengan masyarakat setempat.









