SANDAKAN: Seorang penjual buah-buahan maut selepas gerainya dirempuh treler muatan balak dalam nahas membabitkan tiga kenderaan termasuk dua lori di tepi jalan Batu 27 di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, wanita berusia 50 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika dalam rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun.

Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 31 tahun turut dilaporkan cedera parah akibat tersepit dalam lori kargo, manakala tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terselamat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata nahas itu membabitkan tiga kenderaan iaitu treler muatan balak, lori kargo 10 tan dan sebuah kereta.