KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Bukit Jalil, Bandar Kinrara dan Taman Puncak Jalil di sini memohon pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri, Anwar Ibrahim meneliti semula cadangan projek pembangunan 17,000 unit apartmen di Bukit Jalil dengan mengambil kira kebajikan penduduk setempat.
Ia susulan kebimbangan penduduk terhadap impak projek pembangunan berkepadatan tinggi itu akan memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas dan menambah tekanan terhadap kemudahan awam sedia ada di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Zainuddin Zainal, berkata mereka berharap Perdana Menteri dapat mendengar aduan dan memahami masalah dihadapi penduduk.
Katanya, bantahan itu bukan bertujuan semata-mata menghalang pembangunan di kawasan berkenaan, sebaliknya penduduk mahu cadangan pembangunan berkepadatan tinggi itu dinilai semula berdasarkan keadaan semasa.









