KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal para negara, Ahmad Tarmizi Zuhairie mencipta detik membanggakan apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.

Kejayaan itu diraih menerusi acara ujian masa 1,000 meter lelaki kategori C4-C5 selepas Zuhairie mencatat masa 1 minit 5.361 saat (S) pada perlumbaan akhir, sekali gus menewaskan pencabar dari Thailand, Jaturong Niwanti yang meraih perak dengan catatan 1:07.206s.

Pingat gangsa menjadi milik wakil Indonesia, Sufyan Saori yang menamatkan perlumbaan dengan masa 1:08.166s.

Lebih manis, Zuhairie terlebih dahulu mempamerkan kayuhan cemerlang pada pusingan kelayakan apabila mencatat masa 1:04.882 saat untuk memecahkan rekod temasya, sekali gus mengatasi rekod terdahulu 1:07.311s yang dilakukan Lai Shanzhang dari China pada edisi Hangzhou 2023.