KUALA LUMPUR: Ketua syarikat induk Malaysia Airlines tidak menolak kemungkinan pelaksanaan cukai hijau terhadap penumpang bagi membantu menampung kos tinggi bahan api penerbangan mampan (SAF), satu langkah yang boleh meningkatkan lagi harga tiket, lapor Associated Press (AP).

Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar itu dibuat ketika syarikat penerbangan di seluruh dunia berusaha mengurangkan pelepasan karbon, namun berdepan kos SAF yang tinggi dan bekalan yang terhad.

Negara jiran, Singapura, menjadi negara pertama di dunia mengumumkan cukai penerbangan hijau yang diwajibkan kerajaan, berkuat kuasa mulai Januari 2027, dengan kadar berbeza mengikut destinasi dan kelas kabin.