ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menganggap tindakan membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan sebagai sesuatu yang jarang dilakukan kerajaan di dunia.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas turut menyifatkan kerajaan mengamalkan pendekatan ‘ala mafia’ dan ‘desperado’ susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN.
“Jarang kerajaan di dunia ini membatalkan pendaftaran pihak lawan kecuali kerajaan diktator dan komunis. Malaysia ini ala mafia, desperado,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai logo yang akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Muhammad Sanusi memberi jawapan ringkas bahawa mereka akan menggunakan logo Pas.








