KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu, selain turut mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan mencabar itu akan dimulakan dengan memasukkan permohonan pada sesi pendengaran permohonan PN untuk menggantung notis terdahulu RoS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis ini.
Selain itu, katanya, Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) memberikan hak rayuan kepada mana-mana pertubuhan tempatan, pemegang jawatan, anggota atau pihak terkilan dengan keputusan RoS, terhadap Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata, rayuan itu perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan RoS, manakala Menteri Dalam Negeri melalui Seksyen 8 Akta 832 boleh mengesahkan, menolak atau mengubah keputusan Pendaftar dengan ia adalah muktamad.








