Kuala Lumpur: Sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat Corporation (MARA Corp) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) menangguhkan pelaksanaan peraturan menetapkan tiket bas ekspres hanya boleh dijual melalui terminal berlesen.

MARA Liner yang juga pengendali bas ekspres dan bas henti-henti, turut meminta MOT mengadakan libat urus dengan peserta industri, pengendali terminal dan pihak berkepentingan lain sebelum peraturan itu berkuat kuasa pada 1 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner, Wan Agyl Wan Hassan, berkata syarikat itu memahami hasrat kerajaan memperkukuh pengurusan terminal serta menambah baik pengalaman penumpang dan urusan penjualan tiket.

"Pada masa sama, adalah penting supaya proses pelaksanaan mengambil kira keperluan operasi pengendali bas, sistem penjualan tiket sedia ada, kesediaan teknikal, serta implikasi yang mungkin timbul terhadap penumpang," katanya dalam kenyataan hari ini.