SYDNEY: Seorang lelaki didakwa mengugut untuk lakukan serangan bersenjata di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini, selepas membincangkan rancangannya menerusi interaksi dengan chatbot kecerdasan buatan (AI), Claude.

Ditahan pagi kelmarin, David Lan Thackray, 29, didakwa atas kesalahan menggunakan perkhidmatan komunikasi untuk mengugut, mengganggu atau menyinggung perasaan.

Perbualannya dengan chatbot AI itu dikesan dan dilaporkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol), lapor The Sydney Morning Herald semalam.

Thackray yang berkongsi rancangannya kepada Claude bahawa dia ada merancang untuk menembak beberapa kanak-kanak di sebuah pusat asuhan berhampiran kediamannya di Hurstville, selatan Sydney, direman semalam untuk menjalani penilaian kesihatan mental.