KUCHING: Atlet Sarawak yang mencipta kejayaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, SUKMA Selangor 2026, bakal menerima ganjaran lumayan berjumlah lebih RM1 juta sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka pada temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan Sarawak menyediakan insentif berdasarkan pingat dimenangi serta kategori acara sama ada individu atau berpasukan.
Menurutnya, pemenang pingat emas menerima RM15,000, perak RM5,000 manakala gangsa RM3,000 sebagai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan atlet mengharumkan nama Sarawak.
"Insentif tambahan sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod sedia ada sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian istimewa itu," katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.









