KUALA LUMPUR: Kesungguhan Datuk Eman Manan dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar menghadiri sesi bacaan skrip dan latihan bagi filem terbaharu, Langit 2 Warna, mengundang pujian pengarah dan penerbit, Erma Fatima, yang pada masa sama menyindir sikap segelintir pelakon didakwa kurang komitmen terhadap persiapan sebelum penggambaran.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Erma berseloroh mengenai kesediaan dua pelakon berpengalaman itu menghadiri latihan, meskipun sudah meraih pelbagai pengiktirafan sepanjang perjalanan seni mereka.
"Dah bagus pun datang 'rehearsal' (latihan) ke? Dah berapa kali menang 'award' (anugerah), datang 'rehearsal' lagi ke?" tulisnya.
Erma turut memuji sikap profesional Eman dan Tamimi yang tetap memberikan perhatian terhadap persiapan watak sebelum melangkah ke set penggambaran.









