Kuala Nerus: Demi membalas pengorbanan ibu dan bapa, Norhafiza Aini Ramzi cekal melawan leukemia, biarpun ada kalanya tubuhnya terlalu lemah hingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

Bagi graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, segulung ijazah yang berjaya digenggam dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.57 bukan sekadar kejayaan akademik, sebaliknya hadiah bermakna buat insan yang tidak pernah berhenti berkorban demi masa depannya.

Anak ketiga daripada lima beradik dari Teluk Intan, Perak itu disahkan menghidap kanser darah jenis Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) pada Mac lalu, ketika masih dalam pengajian Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim dengan Kepujian.

Norhafiza Aini berkata, segalanya bermula apabila dia mengalami demam berterusan, lebam pada badan dan keletihan melampau sebelum mendapatkan pemeriksaan di Hospital Teluk Intan.