Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Pelangi, Taman Puchong Utama, dekat sini, semalam.

Nor Rowaifa Abdullah kali terakhir dilihat meninggalkan rumah kira-kira jam 10.30 pagi dengan memakai baju dan seluar palazo berwarna ungu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan daripada ahli keluarga pada jam 9.25 malam, tadi.

Katanya, polis kini meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja itu supaya tampil membantu usaha mengesannya.