KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies mendakwa mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit susulan beberapa projek kerjasama dengan jenama tertentu dibatalkan atau ditangguhkan, berikutan dakwaan kononnya beliau mempunyai hubungan sulit dengan individu kenamaan.

Peguam yang mewakilinya, Mohd Haizal Ayop daripada EzriLaw Firm, berkata dakwaan berkenaan bukan sahaja menjejaskan reputasi anak guamnya, malah memberi kesan kepada kerjaya, sumber pendapatan dan keluarga pelakon itu.

"Keadaan ini menjejaskan nama baik, keluarga dan kerjaya Ruhainies. Beberapa syarikat yang sebelum ini bersetuju untuk bekerjasama dengannya mengambil keputusan menangguhkan projek susulan isu fitnah ini.

"Secara tidak langsung, perkara itu menjejaskan punca pendapatan Ruhainies. Kesannya bukan sekadar terhadap jumlah perkongsian di media sosial, malah turut membabitkan maruah keluarga dan sumber rezekinya," katanya pada sidang media bersama pelakon itu di sebuah restoran di sini, hari ini.