Kuala Lumpur: Impak daripada fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya, pelakon Ruhainies didakwa berdepan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Peguam Mohd Haizal Ayop yang mewakili Ruhainies berkata, fitnah yang dilemparkan terhadap anak guamnya menjejaskan reputasi sekali gus memberi kesan kepada kerjaya, keluarga dan sumber pendapatan.

"Beberapa syarikat yang sebelum ini bersetuju untuk berkolaborasi, mengambil keputusan untuk menangguhkan kerjasama disebabkan fitnah.

"Secara tak langsung, ini turut menjejaskan punca pendapatan Ruhainies. Jadi, kita tak boleh menunggu lagi dan perlu tindakan segera," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ruhainies, di sini, hari ini.