Kuala Lumpur: Selepas terkandas di ambang kejuaraan Terbuka Denmark minggu lalu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu menjadikan Terbuka Perancis sebagai medan memperkemas permainan dan memperbaiki rekod mereka dalam aksi final Jelajah Dunia.

Beregu nombor empat dunia itu kini memberi tumpuan kepada usaha mengawal rali dengan lebih baik, selain memanfaatkan kelebihan servis dan sambutan bagi meningkatkan peluang mencabar kejuaraan pada kejohanan berstatus Super 750 itu.

Aaron berkata, mereka semakin selesa selepas kembali digandingkan dan mahu terus menggunakan kekuatan sedia ada untuk mengatasi lawan.

"Kami menikmati permainan di gelanggang. Servis dan sambutan adalah antara kekuatan kami, jadi kami mahu memanfaatkannya untuk kelebihan sendiri setiap masa," katanya.